KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, yang mengisytiharkan bahawa parti ini telah hilang keyakinan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, membayangkan kemungkinan beberapa wakil rakyat dari Sabah meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk berkhidmat sebagai "wakil rakyat" bebas.
Bekas Ketua Menteri itu juga membayangkan kemungkinan "wakil rakyat" bebas ini, anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Pakatan Rakyat, jika mereka memutuskan untuk meninggalkan parti campuran yang memerintah.
Yong, yang lantang dengan keputusan politik Abdullah mengenai Sabah dan yang beliau sifatkan sebagai langkah "tidak popular" berkaitan dengan kenaikan harga bahan api dan isu pendatang haram di negeri itu, berkata bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai parti pembangkang di semenanjung.
"Kita tidak mahu itu. Apa yang kita mahu ialah jika ada mana-mana parti politik di negeri itu, ia hendaklah sebuah parti yang beribu pejabat di Sabah dan yang menjaga hal ehwal orangnya," katanya dalam temubual dengan Bernama di Kota Kinabalu baru-baru ini.
"Kita tidak jangka diri kita menyertai sebarang parti pembangkang dari Semenanjung jika kita fikir untuk meninggalkan BN. Mungkin dalam aspek sebuah campuran yang kecil (dengan parti pembangkang dari semenanjung)," tambah beliau.
Yong, bagaimanapun, enggan mengatakan sama ada SAPP sendiri akan meninggalkan BN.
"Kita tunggu dan lihat," kata Yong, yang telah mengisytiharkan di Kota Kinabalu hari ini bahawa dua anggota Parlimen parti itu (Sepanggar dan Tawau) akan menyokong satu usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri pada sidang Parlimen Isnin ini.
Beberapa pemimpin SAPP, ketika ditemui, membayangkan bahawa beberapa ahli politik negeri daripada parti lain menunjukkan minat untuk menyertai "campuran wakil bebas".
"Ia bukan hanya SAPP. Ia akan menjadi campuran bebas yang besar anggota Parlimen dan ADUN , sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang," kata seorang pemimpin yang enggan dinamakan.
Difahamkan kira-kira 10 hingga 18 anggota Parlimen dan ADUN Sabah akan mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan BN dan sebagai permulaan "sekumpulan wakil bebas" dalam masa beberapa hari saja.
-- BERNAMA
#Satu keputusan yang berani telah di lakukan walaupun bukan di kalangan Ahli Parlimen dari Umno.Mari kita bersama-sama berganding bahu untuk perbetulkan kepimpinan negara yang terbukti lemah dalam pentadbiran negara.Cuma yang di harapkan jangan sesekali kita masuk ke dalam parti pembangkang.Kita bertindak dengan cara kita.Apabila segalanya kembali pulih kita sama-sama perkukuhkan Umno dan BN.
No comments:
Post a Comment