Saturday, November 29, 2008

TERBUKTI MEREKA PUN TIDAK SEPENDAPAT

SAMA ada dia keluar atau saya yang keluar, itulah reaksi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad ketika ditannya mengenai tindakan pengguguran beliau sebagai Timbalan Pesuruhjaya II PAS Negeri Selangor oleh bosnya, Datuk Dr Hassan Ali. Menurutnya, perbezaan besar antara beliau dan Hassan ialah daripada segi pendekatan untuk memastikan sokongan terus diberikan kepada pakatan pembangkang. “Saya lebih melihat kepada perlunya diperkukuhkan Pakatan Rakyat bukannya hanya melihat sokongan dalam konteks parti semata-mata,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pergeseran yang berlaku antara beliau dengan Hassan yang dikatakan melibatkan soal dasar. Pergeseran antara Khalid dan Hassan dikatakan bermula sejak sebelum pilihan raya umum Mac lalu berhubung soal penentuan kerusi yang hendak ditandingi. Setelah itu ia berlarutan sehinggalah kepada rasa tidak senang Hassan di atas layanan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap PAS termasuklah beberapa keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang dikatakan menjejaskan kepentingan Melayu dan Islam. Menurut Khalid, bagi beliau PAS tidak harus hanya bercakap tentang memperkukuhkan parti itu sahaja tetapi mestilah dalam ruang lingkup yang lebih besar melibatkan Pakatan Rakyat. Katanya, buat masa ini pakatan pembangkang itu menguasai lima buah negeri dan tiga daripada negeri itu diketuai oleh PAS. “Jika di tiga negeri yang kita kuasai mendapat sokongan daripada parti pakatan kenapa tidak PAS memberikan kerjasama dan menyokong kerajaan negeri yang diketuai oleh parti gabungan iaitu DAP dan PKR,” jelasnya. Apa yang penting sekarang menurut Khalid, Hassan mestilah membuktikan bahawa dengan pasukan baru yang dibentuknya pada peringkat Perhubungan PAS negeri beliau dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik. “Jika tidak beliau perlu bertanggungjawab,” jelasnya. –

No comments: