Saturday, April 26, 2008

Ucapan Perasmian EGM UMNO Bahagian Batu Pahat

Oleh : YB Dr Hj Mohd Puad Bin Zarkashi
26 April 2008, Dewan Jubli Intan Baru Pahat.
UMNO DAN PELAN PERALIHAN KUASA
Assallamuallaikum wr. wb. dan salam sejahtera
A. MUKADDIMAH Terdapat pengajaran penting, dalam cerita fantasi "Alice in wonderland', yang diminati oleh ramai kanak-kanak kecil bahkan golongan dewasa. Ketika Alice sesat di hutan, ia bertemu dengan jalan yang bercabang dua. Alice ragu, jalan manakah yang harus dia pilih? Lalu bertanya kepada seekor kucing yang menjawab, ia bergantung, ke manakah arah tuju mu yang sebenar. Alice memberitahu kucing, dia sendiri tidak tahu dia mahu ke mana. Jawab kucing lagi, kalau begitu jalan mana pun yang engkau pilih, sama sahaja. Engkau tidak akan sampai ke mana mana pun. Apakah sebenarnya iktibar penting daripada cerita tersebut ?
Sidang perwakilan sekelian,,
Tanpa tujuan dan arah tuju yang jelas, jalan mana pun yang ditempuh, kita akan terus sesat, dan terus gagal untuk menyelesaikan sebarang masalah dan cabaran.
Begitulah UMNO, UMNO juga boleh diumpamakan, seperti manusia yang sesat di dalam hutan yang tebal. Ia tidak akan dapat mencari jalan keluar, jika ia tidak berusaha menyelamatkan dirinya. Ia bertambah rumit, jika orang ramai yang berada di luar hutan, tidak sama sama berusaha untuk menyelamatkannya. Membiarkannya terus sesat dalam hutan yang tebal itu.
Oleh itu, dalam konteks pilihanraya yang lalu, UMNO perlu diselamatkan. UMNO tidak boleh dibiarkan terus sesat. UMNO perlu mencari jalan keluar di atas kemerosotan sokongan rakyat, dalam pilihanraya umum ke 12 baru baru ini.
Ini bermakna, UMNO perlukan formula baru untuk memikat semula sokongan rakyat bukan sahaja orang Melayu, orang bukan Melayu bahkan juga generasi muda yang semakin kritis terhadap UMNO.
Masa depan UMNO tidak boleh dibiarkan, seperti di dalam cerita Alice in wonderland. Dia tidak tahu ke manakah arah tujunya. Tetapi inilah yang sudah berlaku. 4 tahun lalu UMNO umpama sesat di hutan yang tebal dan gagal mencari jalan keluar di atas kemarahan dan rasa tidak puas hati rakyat terhadap UMNO.
Kini, UMNO mempunyaii masa yang singkat untuk menghadapi cabaran 4 tahun mendatang. Kita tidak lagi boleh berlengah. UMNO perlu bertindak segera. Kita tidak perlukan berbagai alasan dan penjelasan yang tidak menjawab soalan yang sebenarnya, kenapakah sokongan terhadap UMNO merosot dengan begitu teruk sekali.
B. BERTANYA SOALAN YANG BETUL ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA MEMBERIKAN JAWAPAN YANG BETUL TERHADAP SOALAN YANG SALAH.
Para perwakilan sekelian,
Kalau begitu, apakah soalan yang paling tepat, yang perlu ditanya mengenai pemulihan UMNO selepas undi UMNO dan Barisan Nasional merosot dalam pilihanraya umum yang lalu? Saya ingin menegaskan, bertanya soalan yang betul adalah lebih baik daripada memberikan jawapan yang betul tetapi kepada soalan yang salah. "The right question is more important than the right answer to the wrong question'.
Inilah yang menggusarkan ahli-ahli UMNO akar umbi. Apakah isu sabotaj, isu wang peruntukan pilihanraya dan lain-lain menjawab soalan sebenar, kenapa rakyat marah kepada UMNO? Sebab itulah, jika soalannya sendiri sudah salah, sudah tentu penjelasan dan jawapan-jawapan yang kita berikan sekarang ini tidak akan dapat menyelesaikan persoalan yang sedang berbangkit mengenai masa depan UMNO.
C. APAKAH SOALAN YANG BETUL (THE RIGHT QUESTION)?
Sidang perwakilan sekelian,
Bagi saya, terdapat dua soalan yang lebih tepat untuk ditanyakan selepas pilihanraya yang lalu? Pertama, apakah tindakan drastik kita untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO? Dan kedua, kenapakah rakyat marah kepada UMNO. Dengan kata lain, apakah rakyat menuntut perubahan iaitu 'change' atau sebenarnya rakyat marah kepada UMNO. Sacara jujur, saya tetap ragu jika pembaharuan atau 'change' adalah alasan-alasan utama kenapa rakyat menolak UMNO. Kalau itu alasannya, kenapa calon pembangkang yang mediocre, yang tidak berkelulusan tinggi pun, cakap Melayu pun tidak fasih, muka pun tidak pernah nampak, tetapi tetap menang besar.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna UMNO tidak perlu melakukan perubahan. Perubahan penting kerana kita sebenarnya sedang berhadapan dengan realiti 'era baru pollitik Malaysia'. Oleh itu memahami soalan yang betul adalah cukup penting sebagai solution untuk mengembalikan UMNO pada kedudukan yang lebih kuat
Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, Tunku Abdul Rahman mengatakan ia adalah angkara gerakan subversive Parti Komunis Malaya. Ini Tunku nyatakan semasa berucap melalui media pada 14hb Mei 1969. Tetapi Tun Dr. Ismail mengatakan sebaliknya. Bagii beliau, isu perkauman yang dimainkan oleh parti-parti pembangkang yang mabuk kemenangan menjadi punca berlakunya tragedi hitam tersebut. Akibatnya orang Melayu yang rasa terpinggir bertindak balas.
Saya yakin sebagai respon kepada pandangan Tun Dr. Ismail itu, maka lahirlah berbagai formula dan dasar untuk mengatasi keresahan masyarakat khususnya orang Melayu seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan, Kebangsaan dan Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Oleh itu UMNO perlukan pernimpin yang bijak membaca keresahan akar umbi. Kita perlukan pemimpin yang mempunyai banyak formula dan ideas. Kaya dengan berbagai jalan penyelesaian, terutama ketika parti buntu berhadapan dengan halangan-halangan yang rumit. Pernimpin yang tidak konsisten tehadap apa juga langkah penyelesaiannya, akan menimbulkan persepsi, UMNO dipimpin oleh mereka yang lemah.
Padahnya nanti, UMNO tidak lagi dihormati. Ia tidak boleh dipimpin oleh mereka yang lambat membuat keputusan, tidak tegas membuat keputusan, atau telah membuat keputusan tetapi tidak dapat mempertahankan keputusan tersebut. Bertambah parah, bila pemimpin mudah mengubah keputusan sehingga masyarakat keliru dan kehilangan arah.
Dalam keadaan desperate seperti hari ini, UMNO perlukan pemimpin yang "action oriented'. Terbuka dan transparent sahaja tidak membawa sebarang makna jika tidak diiringi dengan 'tindakan'. Inilah kelemahan paling ketara yang perlu kita akui. Sebab itu kita masih tertanya-tanya, tertunggu-tunggu, apakah tindakan selanjutnya untuk memulihkan UMNO sebagai wadah politik yang efektif selepas berlakunya tsunami politik baru-baru ini.
D. ANTARA KEBERANIAN DAN KEBENARAN
Sidang perwakilan sekelian
Di sinilah rasionalnya, kenapa kita mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas pada hari ini. Saya berbangga kerana seluruh ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Batu Pahat menyokong penuh usaha mengadakan Mesyuarat Perwakilan Khas ini. Saya juga berbangga, kerana tuan-tuan kepimpinan akar umbi di peringkat cawangan bersatu hati menjayakan EGM kita pada hari ini.
Ingin ditegaskan, mesyuarat khas ini tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak. la datang dari hati nurani kita. Biarlah apa orang lain kata. UMNO Batu Pahat mesti berdiri di atas keyakinannya sendiri. Responsif terhadap tuntutan perubahan demi memastikan UMNO terus relevan.
Mesyuarat Perwakilan Khas kita pada hari ini akan turut membahaskan supaya UMNO Malaysia memanggil segera Mesyuarat Agung Khasnya sebelum cawangan-cawangan bersidang pada bulan julai nanti. Kita harap melalui EGM tersebut kita dapat membahaskan perkara yang berkaitan dengan masa depan parti.
Kita menganjurkan Mesyuarat Agung Khas ini dengan tanggungjawab dan keberanian. Keberanian bertunjangkan kebenaran. Elok parang kerana besi, elok besi kerana bajanya, elok orang kerana berani, elok berani kerana benarnya. Sebab itu, Saya tidak perlu menjadi ketua bahagian yang relevan hanya kepada pemimpin sehingga takut untuk bersuara. Yang lebih penting, saya perlu menjadi ketua bahagian yang relevan kepada rakyat. Itulah tanggungjawab saya yang sebenarnya.
Dalam menyebut soal keberanian, izinkan saya memetik puisi sasterawan Negara Usman Awang (Tongkat Warrant) seorang anak jati Melayu Johor yang bertajuk "surat dari masyarakat burung kepada Datuk Bandar
Tuan Datuk Bandarkami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agungpada suatu pagi yang manis dan ranumdi atas bangunan parlimen yang kosong
Seluruh kaum burung telah diwakilioleh para cerdik pandainya, kecualiperwakilan burung gagak yang sebuk dengan urusan kematianpenembakan, bangkai hanyut di Sungai Kelang
Sidang ini dihadiri juga oleh pemerhati undanganperwakilan kupu kupu yang ada kepentingandengan persoalan yang kami bincangkan
Tuan Datuk Bandarmeski kami tidak pernah mengangkat tuan sebagai datuk kamikerana perbezaan fahaman taraf 'Datuk dan Cucu'kerana kelainan pendapat antara rambut dan bulu(tuan tuan telah mempermaniskan gelaran menyebutkan rambut pada dirituan puan, sedangkan untuk kami tuan namakan perkataan bulu)kami tetap menghormati tuan yang pernah menjanjikanuntukMENGHIJAUKAN SELURUH WILAYAH
Tapi manusia kota ini telah membunuh KEHIJAUAN alamsemata mata untuk mengejar KEHIJAUAN ringgitsejak lumpur, kota ini menjadi batu batukami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisumendiang burung belatuk menjadi korban punggur rebahburung merbuk telah ditipu dengan nama Padang Merbuksidang mereka dipenjarakan di tempat yang tuan namakan sangkar
Perwakilan burung pipit telah mengemukakan proteskerana menuduhnya sebagai'pipit pekak makan berhujan'
la disokong kuat oleh burung punaibahawa tuan telah menghina kaum jenis merekaDatuk menamakan benda-benda rahsia ditempat rahsia di tubuh Datukdengan nama "pipit' dan 'punai', sedangkan kami tahu"pipit' dan 'punai' Datuk tak pandai terbang
Tuan Datuk Bandarsurat ini merayu kebijaksanaan tuanpeliharalah tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhantiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunanitulah rumah kami, kediaman kami turun menurunmalah demi kesejahteraan manusiakesihatannya, kebahagiaannya, kedamaiannyaalam semula jadi seribu keindahan mekardi bawah matahari bersinar
Sidang perwakilan sekelian,
Apa yang menarik tentang puisi ini ialah, Usman Awang cuba mengumandangkan suara golongan rakyat kecil seperti kita yang sedar tentang hak kita dan maruah yang semakin tercemar. Masyarakat burung masih merasa punya maruah dan masih memiliki keberanian menegur secara terbuka.
E. SEGERAKAN PELAN PERALIHANKUASA
Keberanian menegur secara terbuka bermaksud keberanian mengemukakan pandangan kritis. UMNO dalam konteks puisi Usman Awang itu adalah pucuk, akar tumbuh tumbuhan dan kerimbunan. UMNO adalah rumah kita, kediaman kita turun-menurun. Maka kita mesti menjaga kebahagiaannya dan kedamaiannya.
Justeru, untuk memelihara UMNO sebagai rumah turun-menurun, UMNO Batu Pahat menyokong penuh Pelan Peralihan Kuasa seperti yang dipersetujui secara consensus oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor dalam mesyuarat khasnya pada 5hb April 2008 yang lalu.
Di mesyuarat perwakilan khas ini kita meminta Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO supaya melaksanakan segera pelan peralihan kuasa dan memaklurnkannya sebelurn bulan Disember 2008. Bahkan bentuk pelan peralihan kuasa juga perlu diumumkan segera agar rakyat dan ahli UMNO faham, tidak tertanya-tanya demi mengelakkan keresahan, ketidak pastian dan kehilangan arah yang hanya menyulitkan lagi pembaharuan pembaharuan yang mahu dilaksanakan oleh presiden parti yang juga perdana menteri.
Dalam suasanan politik sekarang ini, tanpa pelan peralihan kuasa yang dimaklumkan secara jelas kepada orang ramai, fitnah akan berterusan, keyakinan terhadap UMNO semakin dikikis. Masyarakat sukar menerima secara rasional apa pun usaha untuk memajukan negara dan penambah baikan sistem pentadbiran negara seperti mewujudkan Suruhanjaya Kehakiman dan Suruhanjaya Anti Rasuah.
Sidang perwakillan sekellan,,
Apakah sebenarnya pelan peralihan kuasa? Pelan peralihan kuasa adalah satu proses yang cukup teratur, bermoral dan terancang. la sudah pun menjadi precedent dan budaya dalam UMNO seperti yang berlaku di zaman Tunku Abdul Rahman dan zaman Tun Mahathir. la juga boleh berlaku dalam berbagai cara. Antaranya menyerahkan kuasa kepada sipengganti sebelum tamat tempoh kepimpinannya. Ia juga boleh berlaku apabila kuasa eksekutif secara keseluruhan atau sebahagiannya yang penting diserahkan kepada bakal sipengganti sebelum seseorang ketua itu melepaskan jawatan jawatannya yang lain secara total.
Pelan peralihan kuasa akan meredakan keresahan ahli dan rakyat, dan dapat memulihkan keyakinan mereka kepada parti. Ini akan menyebabkan mereka mudah menerima apa sahaja perubahan, tindakan dan formula yang dilaksanakan oleh sesaorang pemimpin itu sebelum ia berhenti. Ia juga mampu menghentikan segala fitnah terutamanya yang disiarkan melalui blog dan internet, tuduh menuduh, perpecahan, pergolakan dan sebagainya baik dalam parti dan negara.
Pelan peralihan kuasa di zaman Tunku Abdul Rahman berlaku hanya empat hari selepas berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. ini kerana pada 17 Mei 1969 parlimen dibubarkan dan digantikan dengan pemerintahan MAGERAN. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengerusi Mageran. Ini bermakna, peralihan kuasa telah berlaku dan kuasa eksekutif mentadbir negara telah diserahkan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak. Tengku Abdul Rahman hanya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada tahun 1970 dan sebagai presiden parti pada tahun 1971.
la adalah pelan peralihan kuasa yang menarik, kerana walaupun Tunku masih Perdana Menteri dan presiden parti, tetapi sebenarnya Tun Abdul Razak selaku Pengerusi Mageran adalah orang yang bertanggungjawab mentadbir negara.
Bayangkan sebuah negara yang kucar-kacir akhirnya kembali aman. Berbagai dasar berjaya diperkenalkan sehingga kestabilan politik kernbali dipulihkan
Dalam kes pelan peralihan kuasa yang teratur ini, walaupun Perdana Menteri dan Presiden parti adalah orang lain manakala yang memegang kuasa eksekutif melalui Mageran pula adalah orang lain, ia mempunyai impak yang besar. Antaranya ialah, konsep Barisan Nasional telah menggantikan konsep Perikatan. Dan dalam pilihanraya yang berikutnya (1974) UMNO dan rakan-rakan komponennya menang dengan majoriti yang gilang gemilang.
Oleh itu adalah wajar, pengalaman pelan peralihan kuasa di zaman Tunku Abdul Rahman ini dijadikan iktibar walau apa pun bentuknya. Yang penting ia dapat memulihkan keyakinan rakyat kerana konsep Barisan Nasional bedaya bertahan dalam tempoh yang panjang selama 34 tahun, sebelum dinafikan sekali lagi majoriti dua pertiganya dalam pilihanraya yang lalu.
F. BAHAYA POLITIK PERSEPSI
Sidang perwakilan sekelian,
Pelan peralihan kuasa yang segera juga harus mengambil kira untuk menghapuskan persepsi buruk kononnya wujud campur tangan keluarga dalam urusan-urusan pentadbiran negara. Sama ada ia benar atau tidak, rakyat tidak pernah diyakini dengan bentuk tindakan yang jelas bagaimana pesepsi ini boleh ditolak. Ia sudah menjadi barah yang sampai ke akar umbi. Biarlah kita berterus terang. Sebahagian besar rakyat sudah pun mempercayainya.
Tidak ada siapa juga yang boleh menafikan, persepsi ini turut menyumbang kepada gelombang kemarahan rakyat kepada UMNO. Saya ingin bertanya, siapakah yang berani menafikan bahawa persepsi buruk wujudnya campur tangan keluarga ini tidak memberi kesan kepada prestasi buruk UMNO dalam pilihanraya yang lalu.
Inilah hakikat yang mesti diakui. Politik Malaysia penuh emosi dan persepsi. Benar atau tidak, ia tidak lagi menjadi pertimbangan. Segala galanya akan dirasionalkan supaya ia dilihat rasional dan benar. Apatah lagi jika ada beberapa peristiwa depan mata yang menampakkan ia boleh dianggap benar dan benar-benar berlaku.
Pihak pembangkang berjaya mengeksploitasi isu ini. Sedangkan tidak ada tindakan untuk membetulkannya. Akibatnya rakyat percaya dan jangan kita berbohong, ramai di kalangan kita sendiri ahli UMNO juga turut mempercayainya.
Sebab itu pelan peralihan kuasa ini mesti komprehensif hatta dalam perkra yang dapat memperbetulkan isu pengaruh keluarga dalam pentadbiran.
G. PENGUKUHAN UMNO DAN RASUAH POLITIK
Sidang perwakilan sekelian,,
UMNO juga perlu melakukan penambahbaikan dalam dirinya. UMNO akan mengadakan proses pemilihan parti bermula daripada bulan julai tahun ini. UMNO sekali lagi akan diuji, sama ada ia lupa daratan atau tidak. Apakah ahli UMNO akan mudah lupa mala petaka yang baru dihadapi dalam pilihanraya lalu, sehingga mengenepikan soal "moral politik'dalam pemilihan parti akan datang.
Kalau itu berlaku, kita sebenarnya tidak serius untuk mengukuhkan parti. Kesedaran kita hanya bermusim. Bila tiba kepada kepentingan kita, kepentingan untuk merebut kuasa, kepentingan untuk membalas dendam, maka kita sanggup melakukan apa sahaja. Akhirnya masyarakat tetap meluat kepada UMNO. Masyarakat tetap tidak percaya, UMNO sebenarnya mahu perubahan.
Sebab itu, dalam usaha memulihkan kekuatan UMNO, UMNO mesti lebih serius memerangi gejala rasuah politik. Saya sudah lama berhujah, rasuah adalah jenayah. Si perasuah adalah penjanayah. Maka memilih pemimpin secara rasuah bermakna kita memilih penjenayah penjenayah untuk memimpin parti dan negara. Maka jangan hairan, satu hari nanti negara dan parti akan turut dijual kerana pemimpin pemimpin ini adalah penjenayah.
Jika ini tidak dikawal, mungkin satu hari nanti UMNO akan dikenali sebagai sebagai parti envelope atau parti sampul surat. Inilah satu sebab kenapa Mesyuarat Agung Khas UMNO Malaysia perlu diadakan, supaya isu ini ditangani sebelum proses pemilihan parti khususnya peringkat majlis tertinggi diadakan.
Perkataan envelope adalah perkataan yang dipilih oleh kiyai budayawan Indonesia Mustofa Bisri untuk menyimbolkan amalan rasuah yang telah mewabak sebagaimana yang diungkapkan dalam puisinya yang berjudul di negeri envelop (negeri sampul surat). Saya petik sebahagiannya
Envelope envelope di negeri envelopeMengatur dengan teraturHal-hal yang tak teratur menjadi teraturHal-hal yang teratur menjadi tak teraturMemutuskan putusan yang tak putusMembatalkan putusan yang sudah putusEnvelope-envelope menguasai penguasaDan mengendalikan orang-orang biasaEnvelope-envelope membeberkan dan menyernbunyikanMencairkan dan membekukanMengganjal dan melicinkan
Orang bicara bisa bisuOrang mendengar bisa tuliOrang alim bisa nafsuOrang sakti bisa mati
Di negeri envelopeEnvelope envelope mengenvelopiApa saja dan siapa saja
H. GOSSIP JALANAN
Jangan hairan satu hari nanti seluruh aspek masyarakat akan menghina UMNO dengan gelagatnya yang meluatkan. Di Indonesia kumpulan Slank telah mencipta Iagu yang berjudul "Gossip Jalanan' yang menimbulkan kemarahan kepada anggota DPR atau parlimennya.
Mau tau nggak mafia di Senayan (parlimen)Kerjanya tukang buat peraturanBikin UUD ( bukan undang undang dasar)tapi sebenarnya Ujung Ujungnya Duit (UUD)
Inilah juga mentaliti kita. Tak ada duit tak ada politik. Duit menjadi segala galanya dalam kegiatan berpolitik. Perjuangan menjadi item yang terakhir dalam diari politik kita.
Saya harap di Malaysia ini para penggiat seni, penyanyi, karyawan, penggubah lagu, budayawan dan sebagainya harus turut berani menjadikan bidang seni untuk sama-sama menyampaikan mesej mengkritik hal-hal yang berkaitan dengan sendi-sendi untuk bernegara seperti isu rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Sudah sampai masanya mesej kenegaraan dan nasionalisme diselitkan dalam aktiviti berkarya mereka, yang tidak sahaja terbatas kepada mesej cinta dan sebagainya.
Ini sudah tentu dapat membantu untuk meningkatkan lagi kesedaran kepada masyarakat khususnya ahli politik supaya lebih serius mengamalkan moral politik yang berintegriti
I. MUZIUM UMNO JOHOR
Sidang perwakillan sekelian,
UMNO tidak akan menjadi muzium. UMNO adalah parti yang lahir menerusi mandat rakyat pada 11hb Mei 1946. Ia lahir atas perpaduan Melayu kerana menentang penjajah British yang memperkenalkan Malayan Union. UMNO lahir kerana nasionalisme Melayu. Soalnya apakah nasionalisme Melayu sudah tidak relevan. Jawapannya tidak. Sebab itu UMNO tidak akan pupus, selagi ada Melayu yang kuat nasionalisme Melayunya.
PAS pula adalah parti serpihan UMNO. Ia lahir atas faktor kekecewaan beberapa kerat pemimpinnya. la bukan lahir kerana asas yang kukuh, seperti kelahiran UMNO. Sebab itu PAS akhirnya, mempolitikkan agama untuk meraih sokongan. Tetapi apabila ianya sudah tidak lagi relevan, PAS menjadi parti liberal dan kuda tunggangan kepada PKR dan DAP yang lebih cerdik. PAS juga akan menjadi parti yang lebih sekular kerana terpaksa memenuhi arus Pakatan Rakyat. Sebab itu berlaku penyisihan golongan ulamak tradisional dalam PAS yang dianggap sudah tidak lagi relevan. PAS akan berhadapan dengan konflik dalaman yang hebat.
PAS sebenarnya tertipu dengan kemenangan sementaranya. PAS sedang mabuk kemenangan. Ia menang kerana menumpang kemenangan DAP dan PKR. Kemenangannya di Kedah bukan genuine. PAS parti boneka di Perak, Pulau Pinang dan Selangor.
Kerana mabuk kemenangan itulah, PAS yang turut bersengkokol di dalam Pakatan Rakyat mahu membeli wakil rakyat wakil rakyat Barisan Nasional supaya melompat parti demi menubuhkan sebuah kerajaan yang rapuh.
Sebenarnya kalau ada wakil rakyat Barisan Nasional yang mahu melompat parti, mereka adalah ahli politik yang tidak siuman. Mereka tidak siuman kerana pendek akal mahu meninggalkan parti semata-mata kerana tidak mendapat jawatan yang lebih penting.
Mereka juga tidak siuman, kerana kalau mereka boleh berfikir, sudah tentu mereka tidak akan meninggalkan parti kerana yakin tsunami politik tersebut boleh diatasi dan bersifat sementara sahaja. Parti kita adalah parti yang lahir atas asas yang kukuh. Kita akan kembali kuat jika kita bekerja keras.
Sidang perwalkillan sekelian,,
Mesyuarat Perwakilan khas pada hari ini merupakan satu sejarah yang besar kepada UMNO Bahagian Batu Pahat. Kita sebenarnya maju ke depan untuk terus merakyatkan UMNO. Kita berikrar untuk terus bersatu padu mempertahankan UMNO sebagai wadah Melayu dan Islam.
Marilah kita bersidang dengan suasana yang berakhlak berharmoni. Ingatlah jika hidup tidak sejalan, bagaikan kayu banyak yang conclong, alamat niat tak sampai ke hujung, alamat makan dalam tempurung, UMNO yang besar menjadi kosong, kerja yang lurus menjadi serong, bagaikan kacang tidak berjunjung, tangan terkerat kaki terpotong.
Sekian dengan lafaz Bismillah… saya merasmikan…

No comments: